SABAK BERNAM 15 Mac - Sebanyak 489 buah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dari seluruh negara akan menerima bantuan kewangan daripada kerajaan secara berperingkat pada tahun ini.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, peruntukan berjumlah RM50 juta itu akan diagihkan kepada sekolah terbabit untuk pelbagai kegunaan....
"Ia termasuk pembelian aset dan modal untuk menaik taraf bangunan sekolah seperti membaik pulih bilik darjah yang usang serta pembinaan makmal komputer," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan upacara pecah tanah pembinaan bangunan bilik darjah baru SJK Cina Lum Hua di sini hari ini.
Upacara tersebut disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan MCA Selangor, Senator Datuk Wong Foon Meng; Guru Besar SJK Cina Lum Hua, Choo Lay Yoong dan Pengerusi Lembaga Pengurus sekolah tersebut, Lean Eng Chong.
Inisiatif membina semula bilik darjah SJK Cina Lum Hua diambil setelah Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati bilik darjah lama yang berusia 54 tahun di sekolah itu tidak lagi selamat digunakan kerana diserang anai-anai.
Ka Siong berkata, pihaknya juga telah menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk disalurkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK), SJK Tamil, sekolah agama dan sekolah mubaligh yang memerlukan bantuan di seluruh negara.
"Usaha membangunkan bidang pendidikan merupakan isu sejagat yang merentasi agama dan kaum.
"Oleh yang demikian, kami akan cuba membantu sebanyak mungkin sekolah yang telah mengemukakan permohonan mereka," ujar beliau.
Sementara itu, Tee Keat berkata, MCA akan membuat kajian menyeluruh untuk membantu kerajaan mengenal pasti bangunan sekolah usang yang perlu dibina dan ditempatkan semula.
"Kami juga berharap usaha ini mendapat kerjasama daripada masyarakat setempat agar kita dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif di dalam sekolah," katanya.

0 comments:
Post a Comment